Sunday, July 12, 2009

Kaya vs Miskin.. Nak pilih mana ye?

Salamun 'alaik..
Apabila saya menghadiri satu program yag dianjurkan oleh pihak universiti saya, saya berfikir mengenai tempat penginapan kami yang dikatakan mewah dan cantik. Memang khabar ini benar dan saya sungguh teruja untuk menginap selama beberapa hari di tempat penginapan tersebut. Jika bukan di bawah anjuran universiti, mungkin saya tidak berpeluang untuk merasai pengalaman menjadi orang kaya sehari. Setibanya saya di dalam bilik yang telah ditetapkan, saya terus melihat keadaan dalam bilik. Subhanallah! Indahnya bilik ini.. Kemewahan bilik ini menyebabkan saya tidak tahu bagaimana mahu membuka pili air. Nasib baik ada kawan yang membantu, dapatlah saya menyegarkan badan setelah sejam setengah berada dalam perut bas. Lega setelah mandi...
Pada malam itu, para peserta dikehendaki untuk mengikuti ceramah oleh Datuk Hamidon. Saya duduk di kerusi paling hadapan. Ucapannya mantap dan meresap ke dalam hati.. Mudah- mudahan Saya dapat mempraktikkan apa saja yang dikataknnya dalam kehidupan seharian. Sambil- sambil mendengar ceramah, saya menjeling ke arah para peserta yang lain termasuklah golongan lelaki. Saya tertarik untuk memandang seorang jejaka yang khusyuk mendengar ceramah. Kenapa dia menarik perhatian saya? Jawapannya, bukan kerana ketampanannya, tetapi dek pakaiannya yang serba mewah. Dari kepala hinggalah kakinya, dia dibaluti dengan pakaian berjenama mewah dan terkenal. Kasutnya berbeza daripada peserta lain.. Dari jauh sudah terpancar kilauan kasutnya yang barangkali berjenama Bonia.
Saya memerhatikan diri saya pula.. Huh, bezanya saya dengan dirinya. Kasut saya dibeli dengan harga yang murah; RM 15 sepasang. Tudung saya pula dibeli di sebuah pasaraya yang tidak terkenal. Stokin saya hampir saja menampakkan jari kaki. Saya tidak memandangnya lagi kerana makin banyak saya pandang, makin banyak perbezaan yang dapat saya cari antara kami.
Ketika berangan mengenai masa hadapan ketika sedang duduk di atas katil pada malam itu, fikiran saya melayang tentang perbezaan si kaya dengan si miskin.. Mengapa di dunia ini ada orang kaya dan ada orang miskin? Kenapa orang kaya dipandang tinggi? Adakah kerana pangkatnya dan wangnya?
Saya mula mencari jawapan mengenai soalan yang seterusnya. Jika diberi pilihan, golongan manakah yang akan saya pilih? Jalan yang mana perlu saya lalui dalam kehidupan seharian? Jalan penuh kemewahan atau jalan yang kosong?
Jalan penuh kemewahan- semua insan di dunia ini mahukan kehidupan yang sempurna. Makanan yang mencukupi, pelajaran di luar negara, tempat tinggal yang besar, pakaian serba mahal dan kereta sekurang- kurangnya keluaran Ford atau General Motors. Orang kaya memang senang mendapatkan apa yang dihajati. Namun orang kaya terdedah kepada bahaya. Masakan tidak, mereka mempunyai aset beratus juta di dalam dan luar negara dan faktor ini menyebabkan orang kaya diancam dengan jenayah rompakan dan pembunuhan. Semua orang inginkan wang mereka yang banyak dan melimpah ruah. Acap kali kita dikejutkan dengan pelbagai berita tentang rompakan yang berlaku di kediaman- kediaman golongan elit. Dahulu di tempat saya terjadinya satu rompakan ke atas sebuah rumah mewah di atas bukit. Rumahnya sangat besar, mungkin paling mewah di kawasan saya itu. Walaupun dilengkapi dengan sistem keselamatan yang canggih, namun perompak tetap bijak. Ternyata perompak sanggup mengambil risiko untuk merompak harta- harta golongan kaya ini kerana pulangannya sangat menguntungkan. Susah juga ya golongan elit ini...
Esoknya, saya mmandang semula ke arahnya sambil berkata kepada diri sendiri," Aku memiliki apa yang kau tak miliki. Aku miliki kebebasan tanpa ada rasa takut akan kehilangan harta benda yang aku tak miliki. Aku bersyukur, Allah beri kelebihan ini pada aku. Dan kesederhanaan ini membuatkan aku sentiasa mengingati Allah, Habibi.."