Friday, August 28, 2009

Demonstrasi... Cara Terbaikkah Untuk Meluahkan Perasaan?

Salamun 'alaik..
Apabila kita bercakap tentang demonstrasi, mesti kalian akan memikirkan demonstrasi sebagai medium untuk meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap pihak- pihak tertentu. Demonstrasi biasanya disertai oleh sesuatu kumpulan yang ingin membantah sesuatu polisi yang dibuat oleh kerajaan atau agensi- agensi tertentu.
Perasaan memang wajar diluahkan kerana jika dibiarkan akan melarat seperti gunung berapi yang sudah lama tidak memuntahkan lavanya. Tetapi harus diingat, perasaan harus diluahkan dengan cara yang betul.
Di Malaysia, demonstrasi memang menjadi cara popular untuk melahirkan amarah tidak kiralah isu itu kecil atau besar, membabitkan isu politik, ekonomi, perkauman, agama, pendidikan, hak asasi manusia dan sebagainya. Peserta akan berhimpun di satu tempat dan berjalan sambil melaungkan rasa hati di sepanjang jalan. Ada juga insan atau golongan yang sanggup mencederakan diri sendiri semata- mata untuk menunjukkan perasaan kepada pihak tertentu.
Harus difikirkan bahawa demonstrasi lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan. Berhimpun dan berjalan secara beramai- ramai di sepanjang jalan akan menyulitkan aktiviti orang awam yang tidak terlibat dengan demonstrasi. Pekerja pejabat akan lewat ke pejabatnya kerana jalan yang biasanya dilalui tidak dapat digunakan kerana telah dipenuhi dengan lautan manusia. Biasanya, demonstrasi secara aman ini boleh bertukar menjadi ganas jika ada pihak yang tidak dapat mengawal perasaan. Barangkali demonstrasi menjadi medan pertempuran antara pihak polis dan FRU dengan golongan yang menganjurkan demonstrasi. Masalah lain yang bakal timbul ialah pembaziran tenaga dan masa boleh berlaku kepada pihak yang terlibat dengan demonstrasi. Masakan tidak, masa yang berguna untuk menjalankan aktiviti yang berfaedah dihabiskan dengan berhimpun di tengah orang ramai dan tenaga pula berkurangan kerana digunakan untuk menjerit dan melaungkan kata- kata penentangan terhadap sesuatu polisi.
Banyak cara untuk meluahkan perasaan tanpa mendatangkan masalah kepada diri sendiri seperti menulis surat kepada agensi- agensi yang terlibat, membuat aduan kepada pihak media dan menghantar memorandum kepada pihak- pihak tertentu supaya pendapat terhadap sesuatu polisi dapat diluahkan secara berkesan dan terus kepada pihak berwajib.
Demonstrasi bukanlah cara terbaik untuk menunjukkan perasaan. Sebagai golongan yang bertamadun, kita perlulah berfikir sebelum membuat sesuatu keputusan...

No comments:

Post a Comment