Friday, August 28, 2009

Erti Hidup Dengan Ujian...


Perjalanan ini,
tidakkan terhenti,
sekiranya jantung terus berbunyi,
banyak halangan,
perlu kau tempuhi,
mencabar iman dan taqwa di hati,
di kanan duri,
di kiri api,
di depan dan belakang entah apa yang menanti...

Sajak ini direka oleh saya ketika saya menghadapi ujian yang dahsyat dan getir.. Dalam usia yang masih hijau, saya banyak diduga dengan pelbagai rintangan. Alhamdulillah, saya berjaya menempuhi segala ujian dengan pertolongan kekasih saya, Allah. Walaupun saya masih diduga dengan pelbagai cubaan, saya tetap bersyukur kerana Allah sentiasa menyelesaikan kesulitan itu. Sememangnya saya berusaha, tetapi keputusannya terletak di tangan Allah swt. Allah sayang saya, dan kamu juga!
Berbicara tentang ujian, saya menganggap ujian atau rintangan sebagai peria dalam menu makan tengah hari atau makan malam. Walaupun pahit, peria melengkapkan juadah untuk jamuan kita. Begitu juga dengan kehidupan.. Tidak ada erti jika kita hanya merasai kegembiraan dan kesenangan tanpa diduga dengan ujian dan kesedihan. Hidup kita tidak akan lengakp. Para sahabat Rasulullah saw akan berasa gelisah jika tidak dilanda ujian kerana ujian menentukan keteguhan iman seseorang.
Siapa yang tidak pernah diduga dengan ujian? Kekasih Allah yang paling agung pun diduga dengan ujian yang maha dahsyat. Baginda Muhammad saw dipulau, dibaling dengan batu dan najis, difitnah dan segala jenis ujian ketika baginda berdakwah namun baginda sabar menghadapi segalanya. Jika kesayangan Allah mampu menerima ujian tanpa mengeluh, bagaimana pula dengan kita, hamba Allah yang tidak dapat dipastikan rumah tetap selepas ini- syurga atau neraka?
Ujian merupakan tanda kasih Allah kepada kita. Allah mahu kita menjadi hamba yang kuat dan mampu melalui segala rintangan yang ada di depan mata. Ingatlah, Allah menguji seseorang mengikut kemampuan hambaNya.

No comments:

Post a Comment