Friday, August 28, 2009

Erti Hidup Dengan Ujian...


Perjalanan ini,
tidakkan terhenti,
sekiranya jantung terus berbunyi,
banyak halangan,
perlu kau tempuhi,
mencabar iman dan taqwa di hati,
di kanan duri,
di kiri api,
di depan dan belakang entah apa yang menanti...

Sajak ini direka oleh saya ketika saya menghadapi ujian yang dahsyat dan getir.. Dalam usia yang masih hijau, saya banyak diduga dengan pelbagai rintangan. Alhamdulillah, saya berjaya menempuhi segala ujian dengan pertolongan kekasih saya, Allah. Walaupun saya masih diduga dengan pelbagai cubaan, saya tetap bersyukur kerana Allah sentiasa menyelesaikan kesulitan itu. Sememangnya saya berusaha, tetapi keputusannya terletak di tangan Allah swt. Allah sayang saya, dan kamu juga!
Berbicara tentang ujian, saya menganggap ujian atau rintangan sebagai peria dalam menu makan tengah hari atau makan malam. Walaupun pahit, peria melengkapkan juadah untuk jamuan kita. Begitu juga dengan kehidupan.. Tidak ada erti jika kita hanya merasai kegembiraan dan kesenangan tanpa diduga dengan ujian dan kesedihan. Hidup kita tidak akan lengakp. Para sahabat Rasulullah saw akan berasa gelisah jika tidak dilanda ujian kerana ujian menentukan keteguhan iman seseorang.
Siapa yang tidak pernah diduga dengan ujian? Kekasih Allah yang paling agung pun diduga dengan ujian yang maha dahsyat. Baginda Muhammad saw dipulau, dibaling dengan batu dan najis, difitnah dan segala jenis ujian ketika baginda berdakwah namun baginda sabar menghadapi segalanya. Jika kesayangan Allah mampu menerima ujian tanpa mengeluh, bagaimana pula dengan kita, hamba Allah yang tidak dapat dipastikan rumah tetap selepas ini- syurga atau neraka?
Ujian merupakan tanda kasih Allah kepada kita. Allah mahu kita menjadi hamba yang kuat dan mampu melalui segala rintangan yang ada di depan mata. Ingatlah, Allah menguji seseorang mengikut kemampuan hambaNya.

Demonstrasi... Cara Terbaikkah Untuk Meluahkan Perasaan?

Salamun 'alaik..
Apabila kita bercakap tentang demonstrasi, mesti kalian akan memikirkan demonstrasi sebagai medium untuk meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap pihak- pihak tertentu. Demonstrasi biasanya disertai oleh sesuatu kumpulan yang ingin membantah sesuatu polisi yang dibuat oleh kerajaan atau agensi- agensi tertentu.
Perasaan memang wajar diluahkan kerana jika dibiarkan akan melarat seperti gunung berapi yang sudah lama tidak memuntahkan lavanya. Tetapi harus diingat, perasaan harus diluahkan dengan cara yang betul.
Di Malaysia, demonstrasi memang menjadi cara popular untuk melahirkan amarah tidak kiralah isu itu kecil atau besar, membabitkan isu politik, ekonomi, perkauman, agama, pendidikan, hak asasi manusia dan sebagainya. Peserta akan berhimpun di satu tempat dan berjalan sambil melaungkan rasa hati di sepanjang jalan. Ada juga insan atau golongan yang sanggup mencederakan diri sendiri semata- mata untuk menunjukkan perasaan kepada pihak tertentu.
Harus difikirkan bahawa demonstrasi lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan. Berhimpun dan berjalan secara beramai- ramai di sepanjang jalan akan menyulitkan aktiviti orang awam yang tidak terlibat dengan demonstrasi. Pekerja pejabat akan lewat ke pejabatnya kerana jalan yang biasanya dilalui tidak dapat digunakan kerana telah dipenuhi dengan lautan manusia. Biasanya, demonstrasi secara aman ini boleh bertukar menjadi ganas jika ada pihak yang tidak dapat mengawal perasaan. Barangkali demonstrasi menjadi medan pertempuran antara pihak polis dan FRU dengan golongan yang menganjurkan demonstrasi. Masalah lain yang bakal timbul ialah pembaziran tenaga dan masa boleh berlaku kepada pihak yang terlibat dengan demonstrasi. Masakan tidak, masa yang berguna untuk menjalankan aktiviti yang berfaedah dihabiskan dengan berhimpun di tengah orang ramai dan tenaga pula berkurangan kerana digunakan untuk menjerit dan melaungkan kata- kata penentangan terhadap sesuatu polisi.
Banyak cara untuk meluahkan perasaan tanpa mendatangkan masalah kepada diri sendiri seperti menulis surat kepada agensi- agensi yang terlibat, membuat aduan kepada pihak media dan menghantar memorandum kepada pihak- pihak tertentu supaya pendapat terhadap sesuatu polisi dapat diluahkan secara berkesan dan terus kepada pihak berwajib.
Demonstrasi bukanlah cara terbaik untuk menunjukkan perasaan. Sebagai golongan yang bertamadun, kita perlulah berfikir sebelum membuat sesuatu keputusan...

Sunday, July 12, 2009

Kaya vs Miskin.. Nak pilih mana ye?

Salamun 'alaik..
Apabila saya menghadiri satu program yag dianjurkan oleh pihak universiti saya, saya berfikir mengenai tempat penginapan kami yang dikatakan mewah dan cantik. Memang khabar ini benar dan saya sungguh teruja untuk menginap selama beberapa hari di tempat penginapan tersebut. Jika bukan di bawah anjuran universiti, mungkin saya tidak berpeluang untuk merasai pengalaman menjadi orang kaya sehari. Setibanya saya di dalam bilik yang telah ditetapkan, saya terus melihat keadaan dalam bilik. Subhanallah! Indahnya bilik ini.. Kemewahan bilik ini menyebabkan saya tidak tahu bagaimana mahu membuka pili air. Nasib baik ada kawan yang membantu, dapatlah saya menyegarkan badan setelah sejam setengah berada dalam perut bas. Lega setelah mandi...
Pada malam itu, para peserta dikehendaki untuk mengikuti ceramah oleh Datuk Hamidon. Saya duduk di kerusi paling hadapan. Ucapannya mantap dan meresap ke dalam hati.. Mudah- mudahan Saya dapat mempraktikkan apa saja yang dikataknnya dalam kehidupan seharian. Sambil- sambil mendengar ceramah, saya menjeling ke arah para peserta yang lain termasuklah golongan lelaki. Saya tertarik untuk memandang seorang jejaka yang khusyuk mendengar ceramah. Kenapa dia menarik perhatian saya? Jawapannya, bukan kerana ketampanannya, tetapi dek pakaiannya yang serba mewah. Dari kepala hinggalah kakinya, dia dibaluti dengan pakaian berjenama mewah dan terkenal. Kasutnya berbeza daripada peserta lain.. Dari jauh sudah terpancar kilauan kasutnya yang barangkali berjenama Bonia.
Saya memerhatikan diri saya pula.. Huh, bezanya saya dengan dirinya. Kasut saya dibeli dengan harga yang murah; RM 15 sepasang. Tudung saya pula dibeli di sebuah pasaraya yang tidak terkenal. Stokin saya hampir saja menampakkan jari kaki. Saya tidak memandangnya lagi kerana makin banyak saya pandang, makin banyak perbezaan yang dapat saya cari antara kami.
Ketika berangan mengenai masa hadapan ketika sedang duduk di atas katil pada malam itu, fikiran saya melayang tentang perbezaan si kaya dengan si miskin.. Mengapa di dunia ini ada orang kaya dan ada orang miskin? Kenapa orang kaya dipandang tinggi? Adakah kerana pangkatnya dan wangnya?
Saya mula mencari jawapan mengenai soalan yang seterusnya. Jika diberi pilihan, golongan manakah yang akan saya pilih? Jalan yang mana perlu saya lalui dalam kehidupan seharian? Jalan penuh kemewahan atau jalan yang kosong?
Jalan penuh kemewahan- semua insan di dunia ini mahukan kehidupan yang sempurna. Makanan yang mencukupi, pelajaran di luar negara, tempat tinggal yang besar, pakaian serba mahal dan kereta sekurang- kurangnya keluaran Ford atau General Motors. Orang kaya memang senang mendapatkan apa yang dihajati. Namun orang kaya terdedah kepada bahaya. Masakan tidak, mereka mempunyai aset beratus juta di dalam dan luar negara dan faktor ini menyebabkan orang kaya diancam dengan jenayah rompakan dan pembunuhan. Semua orang inginkan wang mereka yang banyak dan melimpah ruah. Acap kali kita dikejutkan dengan pelbagai berita tentang rompakan yang berlaku di kediaman- kediaman golongan elit. Dahulu di tempat saya terjadinya satu rompakan ke atas sebuah rumah mewah di atas bukit. Rumahnya sangat besar, mungkin paling mewah di kawasan saya itu. Walaupun dilengkapi dengan sistem keselamatan yang canggih, namun perompak tetap bijak. Ternyata perompak sanggup mengambil risiko untuk merompak harta- harta golongan kaya ini kerana pulangannya sangat menguntungkan. Susah juga ya golongan elit ini...
Esoknya, saya mmandang semula ke arahnya sambil berkata kepada diri sendiri," Aku memiliki apa yang kau tak miliki. Aku miliki kebebasan tanpa ada rasa takut akan kehilangan harta benda yang aku tak miliki. Aku bersyukur, Allah beri kelebihan ini pada aku. Dan kesederhanaan ini membuatkan aku sentiasa mengingati Allah, Habibi.."

Tuesday, June 30, 2009

Tak faham...

Semalam saya mengikuti kuliah seorang pensyarah yang saya kagumi. Namanya tak perlu saya sebutkan atas sebab2 keselamatan diri beliau. Beliau berkongsi perasaan dengan saya- bukanlah perasaan cinta sesama sendiri tapi perasaan kecewa kerana orang Islam sendiri sanggup mengkhianati saudara2 mereka.. Beliau menceritakan jika seorang pemimpin itu merupakan orang yang terhutang budi kepada orang2 yahudi, maka negara yang dipimpin akan berpaksikan budaya yahudi- budaya yang tak punya rasa kasihan kepada orang lain... lihat saja pada hari ini, bukan saja negara Islam yang tidak mampu menolong saudara2 mereka di Palestin, bahkan mereka turut sama membantu rejim ganas itu untuk menyekat keperluan masyarakat Palestin; tempat perlindungan, makanan, minuman.. Masyarakat Palestin tidak dapat berlindung di mana2 kerana negara jiran yang kononnya berorientasikan Islam pun tidak mahu membantu mereka. Saya sungguh tidak memahami mengapa negara- negara Islam terutamanya di Tanah Arab tidak mampu melawan Israel yang populasinya adalah antara yang terkecil di dunia. Mungkainkah mereka sudah banyak terhutang budi kepada orang Yahudi sehingga sanggup menurut apa saja kemahuan Yahudi? Di Malaysia sendiri pun sudah ada yang mahu menjadi mata2 untuk Yahudi demi kepentingan sendiri sehingga sanggup mengenepikan kedaulatan negara. Siapakah individu terbabit? Saya tidak mahu mendedahkan atas sebab2 keselamatan juga.
Sebagai masyarakat Islam, kita perlu sedar bahawa tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara adalah penting. Biarlah diri terkorban demi mempertahankan 3 elemen tadi. Jangan hanya memikirkan kepentingan peribadi tanpa menyedari kesan2 terhadap perbuatan kita yang yang tidak bertanggungjawab- sanggup menjadi pengkhianat agama, bangsa dan negara.

Saturday, June 27, 2009

Allah larang, Allah sayang...

Allah sayang saya.. dan kamu juga!
buktinya, di kala kita melupakan Allah, Allah tetap beri kita nikmat...
contohnya udara yang kita sedut sekarang... bukankah ia membantu kita untuk terus hidup?
makanan- Allah larang kita makan daging khinzir sebab Allah sayang kita. Siapa yang degil,
memang dihinggapi virus H1N1.. Allah tak benarkan kita makan daging biawak, ular,
buaya, katak, harimau dan sume yamg kita tahu haram untuk dimakan sebab daging-
daging tu menyebabkan hati menjadi keras dan pemakannya tidak mudah bersimpati
dengan kesusahan orang lain..
minuman- Allah dah kata, arak itu haram dan raja segala kejahatan.. Tapi ada je yang degil!!!
Kan arak itu memabukkan serta merosakkan fikiran. Arak menyebabkan kita tidak
berfikir secara waras. Kerana arak, manusia boleh terlibat dalam bencana seperti
kemalangan dan pergaduhan. Arak itu najis syaitan!
pakaian- Kita wajib tutup aurat. Rata-rata yang dapat kita lihat sekarang golongan wanita
susah nak tutup aurat dengan sempurna. Kalau masyarakat 60-70an tu boleh
dimaafkan kerana mereka tidak didedahkan dengan ilmu- ilmu agama dengan lebih
mendalam dan zaman itu tidak ada tv, internet atau radio sebagai alat penyebaran
dakwah. Masyarakat berteknologi kini sudah didedahkan dengan pelbagai
pengetahuan melalui media massa tapi masih tak mahu mengikut arahan Allah. Kan
wanita itu mulia di sisi Allah.. Wanita ibarat barang kemas- intan, berlian, emas,
perak, mutiara.. Barang- barang ini perlu dipelihara dan dijaga dengan rapi agar
tidak dicuri orang.. Perlu disimpan dalam peti agar nilainya tetap tinggi.. Allah
sayang muslimah!
hiburan- Muzik keras serta melalaikan memang dilarang Allah. Allah tak suka kita mendengar
muzik- muzik yang merosakkan minda kita. Muzik yang melalaikan datangnya
daripada Yahudi yang sentiasa nak menghancurkan kita. Yahudi mahu kita
tinggalkan kekasih kita. Allah kan menyintai orang yang menyintainya. Seharusnya
kita tahu, hiburan yang mengingati kekasihnya yang teragung kan hiburan yang
terbaik.. Rancangan di televisyen yang dipengaruhi oleh unsur- unsur yang
hedonisme memang dilaknat Allah.. Manakan tidak, hiburan sebegitu menyebabkan
kita lupakan Allah. Program realiti semakin banyak, anak- anak muda dimomokkan
dengan dunia popular. Yang sedihnya, ibu bapa turut menyokong anak- anak mereka
yang terbabit dalam pertandingan hiburan sehingga menangis kerana anak mereka
terkeluar daripada pertandingan nyanyian. Hiburan lalai ini sudah menggila di
zaman sekarang.. Patutlah duit dibazirkan hanya untuk mengunda artis kesayangan.
Tak kisahlah; RM1, RM10, RM100.....
Setiap larangan Allah merupakan tanda cintanya kepada kita walaupun kita ini cuma hambanya.

Tuesday, June 16, 2009

Keabadian Seorang Hamba


Salamun 'alaik..

Saya teringat tentang cerita mengenai keluarga Sumaiyyah yang menjadi keluarga pertama syahid di jalan Allah ketika sedang mengelamun di atas meja belajar. Mereka merupakan hamba Allah yang sangat taat kepada Allah sehingga sanggup menggadaikan nyawa demi Islam. Mereka sangat yakin dengan ajaran yang disampaikan oleh Rasulullah saw yang dirasakan boleh menyelamatkan mereka daripada belenggu kejahilan. Saya teringat pula kisah Bilal bin Rabah, seorang hamba kepada Umaiyyah yang diseksa oleh tuannya, Umaiyyah apabila rahsianya memeluk Islam terbongkar. Dia diduga dengan pelbagai penyeksaan termasuk dihimpit dengan batu besar sementara tubuhnya dijemur di bawah matahari terik. Nasib Bilal memang baik apabila Khalifah Abu Bakar membebaskan Bilal daripada tuannya dengan bayaran dua kali ganda daripada nilai sebenar Bilal ketika dibeli oleh Umaiyyah. Ketabahan tokoh- tokoh Islam ini memang patut dicontohi oleh Muslimin dan Muslimat yang ada kini kerana tokoh- tokoh ini telah berjaya mempertahankan iman terhadap Islam.

Jika diteliti, cara Sumaiyyah memahami Islam sangat berbeza dengan kita. Ketika dia mula- mula menerima syiar Islam, ibadah- ibadah seperti solat dan puasa belum diajar kepada Umat Islam ketika itu. Umat Islam sezaman Sumaiyyah mempraktikkan Islam dari sudut yang berbeza dengan umat kini. Keimanan mereka berasaskan keyakinan terhadap tuhan yang satu iaitu Allah swt. Mereka percaya Allah adalah tuhan yang nyata dan tidak mampu ditandingi oleh mana- mana pihak.
Sebagai Muslim yang hidup pada zaman moden ini, kita seharusnya mempraktikkan Islam mengikut amalan- amalan yang telah diajar oleh Allah swt melalui kekasihNya, Muhammad saw. Iman kita bergantung kepada amal ibadat yang dilakukan- jika kurang amalan, maka iman kita akan berkurang dan begitulah sebaliknya.

Thursday, June 11, 2009

Nak elak daripada mendengar umpatan? Senang saja!

Umpatan, cemuhan, kutukan dan perkataan yang seumpamanya merupakan perkataan yang menggambarkan perkara- perkara yang boleh membawa kalian ke lembah dosa... Dosa besar!!! Seharusnya kita takut akan perkara-perkara seumpama ini..
Namun ada rakan- rakan kita yang suka mengumpat sehingga kita yang tidak mahu mendengar umpatan tersebut terpaksa menanggung dosa..
Berikut dinyatakan cara- cara untuk mengelak daripada mendengar sebarang ucapan yang berbaur umpatan:

1. Apabila nampak rakan anda yang telah dicop sebagai Mak Joyah mendekati anda, berpura- pura seperti anda mempunyai masalah besar yang harus diselesaikan secepat mungkin. Cara ini bakal membuatkan Mak Joyah tersebut membatalkan hasratnya kerana takut anda meminta tolong menyelesaikan masalah terbabit yang bukan salah satu daripada profesionnya sebagai media bergerak.
2. Tidur setelah ternampak Mak Joyah yang sedang menuju ke arah anda dengan hasrat untuk menyebarkan segala dakyahnya. Jangan bangun walaupun Mak Joyah menggegarkan katil anda atau menjerit dengan harapan supaya anda mendengar cerita laghonya..
3. Ketika berada dalam satu halaqah, tiba- tiba ada seorang ahli halaqah menceritakan tentang keburukan seseorang untuk memuaskan hatinya ( sebab kalau tak mengumpat sehari tak sempurna hidupnya). Anda yang prihatin harus cepat- cepat memotong percakapannya dan menukar tajuk perbualan. Boleh juga bertanyakan soalan- soalan mengenai agama dan dunia supaya ahli- ahli yang lain lebih berminat untuk membincangkan soalan yang diutarakan oleh anda berbanding mendengar cerita Mak Joyah yang tak berfaedah.
4. Ketika berbual dengan rakan- rakan, pastikan anda membawa ' head phone' supaya apabila mereka berbicara mengenai keburukan seseorang, anda bolehlah mendengar lagu- lagu yang menarik dengan kuat agar tidak mendengar umpatan Mak Joyah.
5. Apabila mendengar Mak Joyah mengumpat, nasihatkan dia dengan kata- kata yang penuh berhikmah.Katakan padanya;
" buat penat je kau beribadah. Pahala kau dah terbang kat Siti.."
Praktikkan ye...