Wednesday, June 10, 2009

Malunya...

" Malunya aku bila cikgu marah sebab tak siapkan kerja sekolah!"
" Aku malu sebab terlanggar Mamat kat depan pintu pagar sekolah."
" Pemimpin aku suka bergaduh. Aku malu dengan orang luar."
Sering kali saya mendengar luahan- luahan seperti ini. Saya suka apabila masih ada dalam kalangan masyarakat Malaysia yang masih mempunyai sifat malu ini.
Malu merupakan sebahagian daripada iman. Malu merupakan sifat terpuji. Masyarakat Asia masih mempunyai sifat malu, justeru mereka tidak mahu untuk menceritakan masalah yang berkaitan dengan dunia mereka sebagai lelaki atau perempuan kepada pihak yang berlainan jantina. Berbeza dengan masyarakat Timur, masyarakat Barat tidak segan silu berkongsi masalah dengan rakan- rakan yang berlainan jantina bahkan topik berkenaan merupakan topik yang biasa dibicarakan dalam perbualan harian.
Sifat malu terbahagi kepada dua; malu bertempat dan malu tidak bertempat. Malu bertempat boleh ditafsirkan sebagai perasaan malu yang disebabkan oleh perkara- perkara yang tidak sepatutnya terjadi kepada manusia. Malu tidak bertempat pula ialah perasaan malu untuk melakukan sesuatu perkara yang baik, sebagai contoh:
" Aku malu nak bertanyakan perihal soalan ni kepada cikgu.."
" Malu pula rasanya nak bersalaman dengan nenek aku.."
" Malu lah nak beritahu Siti yang aku nak pinjam pensilnya.."
Malu yang seperti ini boleh membawa seseorang ke lembah yang tidak baik. Kita tidak seharusnya malu untuk bertanya soalan- soalan yang tidak kita ketahui jawapannya. Jika kita tidak bertanya, persoalan tersebut akan terus menghantui kita dan kita tidak akan ketahui jawapannya. Ilmu tidak dapat disampaikan dan membawa kepada pelbagai percanggahan pada masa akan datang.
Buangkan sikap malu anda untuk melakukan sesuatu perkara yang baik. Jangan pula anda tidak malu untuk terlibat dalam jenayah atau melakukan perkara- perkara yang melanggar syariat.. Contohnya:
" Kau nak malu apa? Merokok melambangkan kejantanan! Cubalah!"
" Kau malu didenda sebab tak siap kerja sekolah? Tenanglah kawan! Ini baru dikatakan otai sekolah.."
Perasaan malu seperti ini tidak seharusnya wujud dalam kehidupan kita.. Ingatlah, malu untuk melakukan dosa, bukan menambah pahala..

1 comment:

  1. Manusia malu melakukan kebaikan tetapi tidak malu melakukan kejahatan...Pelajar sini pun ada yang berpeluk-peluk di luar sana...cuba suruh mereka memakai serban...mesti mereka akan kata malu

    ReplyDelete