Wednesday, June 10, 2009

Oh Bahasa Melayuku!!

Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan yang perlu dimartabatkan..
Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara Malaysia..
Terpanggil saya untuk menulis tentang keindahan Bahasa Melayu yang semakin terancam dek arus kemodenan yang menuntut kita menyanjung bahasa barat.. Baru- baru ini, saya membaca satu keratan akhbar berkenaan martabat Bahasa Inggeris dalam yang bakal dijadikan kayu ukur untuk pencapaian akademik seseorang pelajar sekolah menengah. Jika seseorang pelajar itu tidak lulus dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, pelajar tersebut dianggap tidak lulus dalam SPM. Penting sangatkah Bahasa Inggeris dalam kehidupan kita?
Mungkin kita sudah lupa tentang kemasyhuran Bahasa Melayu yang menjadi bahasa pertuturan ketika Zaman Kesultanan Melayu Melaka. Semua pedagang yang berdagang di Tanah Melayu perlu bertutur dalam Bahasa Melayu untuk memudahkan urusan jual beli antara penduduk Tanah Melayu dengan pedagang asing. Sultan dan rakyat Tanah Melayu sangat berbangga dengan Bahasa Melayu kerana mereka merasakan Bahasa Melayu patut diberi penghormatan yang tinggi seiring dengan keindahan gaya bahasanya.
Rata- rata pekerja asing yang bekerja di Malaysia berpendapat bahawa Bahasa Melayu merupakan bahasa yang paling mudah untuk difahami. Ini terbukti apabila sebilangan besar daripada mereka mampu berbahasa Melayu dengan baik walaupun baru beberapa bulan bekerja di Malaysia. Pensyarah saya yang berasal dari Myanmar turut mengakui kebenaran ini. Dalam kuliahnya yang lepas ( saya rasa tidak perlu dinyatakan tarikhnya), beliau menyatakan Bahasa Melayu memang mudah untuk dipelajari. Menurut beliau lagi, orang luar dapat mengenali bangsa Melayu melalui bahasanya. Orang Melayu memang sinonim tidak dapat dipisahkan dengan dua elemen penting- Agama Islam dan Bahasa Melayu. Jika hilang salah satu daripada elemen tersebut, maka hilanglah jati dirinya sebagai Orang Melayu.
Ada juga makhluk- makhluk yang berpendapat bahawa jika kita tidak mempelajari Bahasa Inggeris, kita tidak akan maju, mundur kerana semua ilmu hanya boleh didapati menerusi khazanah- khazanah dari Barat. Mereka juga berpendapat bahawa Bahasa Inggeris merupakan bahasa yang digunakan oleh sebilangan besar penduduk di dunia. Benarkah?
Jika kita pandang ke timur ( satu dasar yang diperkenalkan oleh Tun Dr Mahathir), negara- negara di sana sangat maju dan berteknologi tinggi. Jepun sebagai contoh, negara tersebut menghasilkan pelbagai peralatan yang berteknologi tinggi seperti robot, kereta dan motorsikal. Kemajuan negara itu melayakkan Jepun digelar sebagai " Harimau Asia". Kemajuan mereka bukanlah berasaskan kemahiran berbahasa Inggeris dengan baik, tetapi daya usaha mereka yang tinggi untuk meletakkan negara mereka sebagai negara termaju di dunia. Kebanyakkan Orang Jepun tidak mahir berbahasa Inggeris kerana mereka berbangga dengan bahasa warisan nenek moyang mereka. Perdana Menteri Jepun tidak menggunakan Bahasa Inggeris ketika memberi ucapan dalam pelbagai persidangan antarabangsa yang dihadirinya ( kalau tak percaya, tonton ucapan Perdana Menteri Jepun dalam persidangan antarabangsa). Sikap Perdana Menteri ini telah menyebabkan semua wakil kerajaan perlu menterjemahkan Bahasa Jepun ke dalam bahasa mereka agar dapat difahami.
Bahasa Melayu perlu dimartabatkan agar menjadi bahasa pertuturan di seluruh dunia. Ini sesuai dengan hasrat kerajaan sendiri untuk menyanjung Bahasa Melayu supaya ianya tidak diabaikan atau dirosakkan oleh pihak- pihak yang tidak bertanggungjawab.

No comments:

Post a Comment